Kegunaan کݢوناءن Xiao'erjing

Karangan undang-undang dalam bahasa Arab, diiringi terjemahan Cina (Xiao'erjing), diterbitkan di Tashkent pada tahun 1899

Xiao'erjing terdiri daripada dua set, iaitu "kaedah masjid" dan "kaedah seharian". "Kaedah masjid" digunakan oleh pelajar dan imam di masjid dan madrasah, banyak diisi istilah keagamaan Arab dan Parsi, dan tidak kelihatan aksara Cina pun. Sistem ini agak selaras bentuknya dan boleh dianggap sebagai sistem tulisan sejati. "Kaedah seharian" pula digunakan oleh golongan kurang berpendidikan untuk surat-menyurat di peringkat peribadi. Selalunya aksara Cina asas bercampur aduk dengan tulisan Arab, selalunya membincangkan hal-ehwal bukan keagamaan, dan oleh itu sedikit juga kata pinjaman Arab dan Parsi. Penulisan kaedah ini amat berbeza dari orang ke orang lain. Kaedah ini pun boleh direka-reka penulisnya sendiri, dengan pemahaman sendiri mengenai abjad Arab dan Parsi yang disesuaikan dengan sebutan loghat setempat dirinya. Selalunya, hanya pengirim dan penerima surat dapat memahami isi surat itu sepenuhnya,, tetapi amat sukar difahami orang lain.

Kegunaan moden کݢوناءن مودن

Dewasa ini, penggunaan Xiao'erjing kian pupus kesan pemesatan ekonomi Republik Rakyat China dan peningkatan dalam pendidikan aksara Cina di kawasan luar bandar China. Tulisan Cina dan juga Hanyu Pinyin sudah banyak mengganti tempat Xiao'erjing. Semenjak pertengahan 1980-an, banyak juga kajian akademik di dalam dan luar China berkenaan Xiao'erjing. Kaji selidik di lokasi dijalankan dan pengguna-pengguna Xiao'erjing pun ditemu bual. Bahan-bahan bertulis dan cetak Xiao'erjing turut dikumpul para penyelidik, terutamanya di Universiti Nanjing yang lengkap sekali.